KUCHING, 25 April 2025 – Sarawak akan merangka dan melaksanakan dasar baharu bagi pengurusan industri mineral secara lebih berkesan dan mampan melalui Sarawak Mineral Industry Development Policies and Guidelines yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026. Perkara ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg semasa berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) di Kuching, malam ini.
Menurut beliau, dasar baharu ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasa pembangunan industri mineral di negeri ini, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara. Premier menegaskan bahawa perlombongan merupakan sektor penting dalam pembangunan negeri, namun pendekatannya harus berhemah dan selaras dengan dasar alam sekitar sedia ada.
“Kita tidak mahu lagi pendekatan perlombongan secara terbuka (opencast) yang menjejaskan rupa bumi seperti sebelum ini. Kita mahu membangunkan sektor ini secara terancang dan bertanggungjawab,” jelas beliau.
Premier turut memaklumkan bahawa Timbalan Premier, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, telah mengetuai satu pasukan ke Kanada bagi meninjau kaedah perlombongan moden yang lebih mesra alam. Hasil lawatan tersebut menunjukkan bagaimana perlombongan dapat dijalankan tanpa menjejaskan struktur geologi kawasan tersebut. Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap keadaan kawasan perlombongan di sana yang kelihatan seperti tanah baharu meskipun aktiviti penggalian telah dijalankan.
Sehubungan itu, Sarawak akan merangka satu dasar menyeluruh dalam sektor perlombongan bagi memastikan khazanah bumi dapat dimanfaatkan dengan cara yang bertanggungjawab dan lestari, sejajar dengan aspirasi pembangunan hijau negeri.
Dalam pada itu, Premier turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak atas kejayaan mencapai sasaran awal dalam program penanaman pokok. “Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan kerana kita telah menanam 35 juta pokok lebih awal daripada sasaran. Ini adalah satu kejayaan besar bagi kita,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, dan Yang Berbahagia Datu Haji Abdullah bin Julaihi.